Pemain Bundesliga bantah secara aman

BERLIN: Pierre Kunde Malong antara pemain terkini Bundesliga yang memberi penghormatan kepada mendiang George Floyd apabila dia berlutut selepas menjaringkan gol kedua Mainz dalam kemenangan 2-0 di Eintracht Frankfurt.

Ketika ribuan orang berkumpul di Berlin dan Munich bagi menunjukkan bantahan ke atas keganasan polis dan untuk kesamaan kaum, pemain tengah Mainz Kunde Malong menunjukkan tanda penghormatan kepada Floyd - lelaki kulit hitam Amerika yang mati di Minneapolis bulan lalu selepas dikasari polis yang menahannya.

Pemain Cameroon itu tidak akan dihukum oleh Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) untuk perbuatan itu selepas badan berkenaan memberi kebenaran kepada pemain yang mahu memperingati Floyd atau menyokong kempen 'Black Lives Matter'.

Pemain-pemain Borussia Dortmund turut memakai baju yang tertulis mesej bagi menyokong kempen berkenaan, ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Hertha Berlin.

Penjaga gol Dortmund, Roman Burki ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Hertha Berlin. - Foto AFP
Penjaga gol Dortmund, Roman Burki ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Hertha Berlin. - Foto AFP

Jadon Sancho dan Achraf Hakimi menulis mesej "tiada keadilan, tiada keamanan", manakala pemain tengah Axel Witsel dan Emre Can membawa mesej dengan perkataan "hitam", "putih" dan "kuning" dipangkah, dan perkataan "manusia" di bawahnya.

Sancho dan Hakimi terlepas hukuman daripada DFB berikutan sokongan ditunjukkan mereka terhadap Floyd minggu lalu apabila badan induk bola sepak Jerman membenarkan perkara berkenaan.

Sebelum itu juara Jerman Bayern Munich turut menunjukkan sokongan mereka kepada kempen anti perkauman dan keganasan polis itu.

Sebelum kemenangan 4-2 di Bayer Leverkusen, pemain-pemain memanaskan badan dengan memakai baju yang tertulis "#BlackLivesMatter" dan slogan kempen rasmi kelab "Reds Menentang Perkauman".

"Sebagai pemain, kami sentiasa membawa mesej yang sama: kami bertimbang rasa, kami terbuka, kami terbuka kepada dunia," kata kapten Bayern Manuel Neuer.

Ketika perlawanan, semua pemain Bayern memakai gelang getah hitam yang tertulis "Black Lives Matter". - AFP



Sumber : Pemain Bundesliga bantah secara aman

Post a Comment

0 Comments