Pembukaan semula sempadan bakal rancakkan kembali operasi sektor pengangkutan

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan yakin pembukaan semula sempadan antara negara di rantau ini akan merancakkan kembali operasi sektor pengangkutan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Wisma Putra sedang berbincang dengan beberapa negara seperti Thailand, Brunei dan Singapura bagi membenarkan warganegara masing-masing berkunjung ke Malaysia.

"Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah berjumpa rakan sejawat beliau dari Singapura untuk membincangkan beberapa perkara, termasuk berhubung tempoh kuarantin jika melepasi sempadan negara.

"Malaysia, Thailand, Brunei dan Singapura sebelum ini mempunyai perhubungan pelancongan melalui pengangkutan. Justeru diharapkan selepas ini, ia dapat diteruskan kembali," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama wakil industri pelancongan di kawasan Parlimen Ayer Hitam, di sini, semalam.

Mengulas isu pemandu mabuk pula, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan sudah menyiapkan draf bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang bakal dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Kita turut memasukkan isu memandu secara berbahaya dan draf berkenaan diperincikan lagi seperti diarahkan Perdana Menteri.

"Kementerian akan membawa draf pindaan itu ke mesyuarat Kabinet dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memang serius menangani isu ini," katanya.



Sumber : Pembukaan semula sempadan bakal rancakkan kembali operasi sektor pengangkutan

Post a Comment

0 Comments