HONG KONG/SINGAPURA: Gergasi internet China, Tencent Holdings Ltd membeli sebahagian aset syarikat pemula niaga Malaysia, iFlix, platform penstriman dengan 25 juta pengguna di Asia Tenggara dan Asia Selatan yang sedang berdepan masalah.
Tencent, yang memiliki platform WeChat, akan membeli isi kandungan, teknologi dan sumber iFlix, sekali gus memperluaskan capaian geografinya di kawasan pertumbuhan utama.
Syarikat China itu tidak akan mengambil alih hutang iFlix, menurut individu yang rapat dengan perkembangan terbabit, namun enggan dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai urus niaga berkenaan.
"Ini sejajar dengan strategi untuk mengembangkan platform penstriman antarabangsa kami, WeTV, merentasi Asia Tenggara di samping menyediakan pengguna isi kandungan antarabangsa, tempatan dan asli dalam pelbagai genre serta bahasa," kata Tencent dalam satu kenyataan e-mel.
Pandemik COVID-19 menyebabkan pengiklanan merosot, sekali gus menjejaskan industri media dan iFlix.
Firma itu, yang diasaskan pada 2014, kini beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara dan Asia Selatan, selepas keluar dari pasaran Asia Barat dan Afrika.
Ia bukan hanya bersaing dengan gergasi penstriman global seperti Netflix Inc, malah dengan platform China yang mahu berkembang di rantau ini seperti iQiyi Inc dan Tencent.
Walaupun penstriman menggunakan platform itu meningkat dua kali ganda semasa penularan pandemik, syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur itu terpaksa memberhentikan 50 kakitangan awal tahun ini.
Ia terpaksa membatalkan tawaran awam permulaan (IPO) bulan lalu, manakala sebahagian pengarah dan pengasas bersamanya menarik diri, kata salah seorang sumber.
Tencent pada awalnya akan mengendalikan iFlix sebagai satu jenama bebas, namun sasarannya adalah untuk menggabungkannya bersama platform penstriman WeTV miliknya, yang menyasarkan pengguna di luar China, kata sumber.
Pesaing iFlix, Hooq, juga berdepan masalah semasa pandemik.
Syarikat itu, yang majoritinya dimiliki oleh Singapore Telecommunications Ltd memfailkan pencairan bulan lalu.
-Bloomberg
Sumber : Pemilik WeChat beli aset firma Malaysia, iFlix
0 Comments