Penganggur belasah isteri didakwa curang kena penjara, sebat

TAWAU: Gara-gara mencederakan isterinya yang didakwa curang, seorang penganggur dihukum penjara 26 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Rashid, 40, yang juga warga asing, mengaku salah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara serentak di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan kerana membakar barang-barang peribadi termasuk pakaian milik isterinya.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan diperintah menjalani hukaman penjara empat bulan serta dua sebatan selain dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengusiran sebaik selesai menjalani semua hukuman.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua diperintah berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad dihukum penjara 12 bulan sebaik selesai hukuman penjara 14 bulan bagi kesalahan pertama dan kedua.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mencederakan Mary Jane Legaspi Dionislo, 43, dengan menumbuk dan menendang bahagian kepala dan muka wanita itu sehingga menyebabkan bengkak dan lebam seluruh badan mangsa.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam bilik sebuah kedai runcit di Ladang Prihatin, Kalabakan, di sini, jam 7 malam pada 1 Jun lalu akibat gagal mengawal kemarahan selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Sumber : Penganggur belasah isteri didakwa curang kena penjara, sebat

Post a Comment

0 Comments