Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi fasa terbaik dalam melatih kemahiran pendidikan tidak formal melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). TVET yang dilihat bersifat praktikal jelas dapat membina kecenderungan dan minat terutama generasi muda terhadap bidang yang ingin diceburi.
Latihan berbentuk praktikal ini membawa banyak makna dalam konteks pembelajaran tidak langsung yang mampu mencungkil bakat dan potensi generasi masa hadapan yang mampu diketengahkan untuk menembusi alam pekerjaan yang semakin mencabar.
Waktu PKP sebenarnya medan terbaik melatih pendidikan TVET. Pelbagai aktiviti dipaparkan melalui media sosial oleh ibu bapa yang dilakukan bersama di rumah menyumbang kepada pembangunan TVET. Contoh yang jelas ialah aktiviti memasak bersama keluarga.
Ketika PKP ini, kita dapat lihat pembabitan bapa dan anak yang turut menyediakan juadah dan hidangan untuk dimakan bersama. Hubungan kekeluargaan diikat kasih sayang menyumbang kepada keharmonian keluarga. Apa yang menarik, anak dapat belajar melalui kaedah masakan meliputi pelbagai resipi yang mungkin belum pernah dicuba sebelum ini.
Kita dapat melihat bagaimana anak dilatih menggunakan peralatan masakan yang sebelum ini agak janggal dan keterbukaan serta kesediaan ibu bapa membenarkan anak turut sama di dapur menunjukkan kematangan mereka dalam melatih kanak-kanak untuk mahir dalam aktiviti masakan.
Agak menghiburkan juga apabila melihat paparan hasil masakan, kek dan pastri yang gagal menepati ciri dikehendaki di media sosial. Kegagalan ini dilihat sebagai bahan jenaka dan hiburan sekeluarga.
Namun, sesuatu menarik untuk dipelajari daripada fenomena ini ialah kesediaan untuk menempuhi kegagalan dalam melakukan satu-satu perkara. Ini elemen positif dan semangat baharu dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Falsafah bahawa kegagalan bukan noktah, sebaliknya medan pembelajaran penting amat signifikan dalam bidang TVET. Seseorang bukan semata-mata memaparkan kegagalan di media sosial, sebaliknya ia mendedahkan faktor yang menyumbang kepada kegagalan berkenaan untuk dijadikan proses pembelajaran bermakna dan dikongsi bersama masyarakat.
Kesempatan waktu dalam PKP menjadi hikmah, sekiranya diperhalusi kerana ia memberikan peluang kepada ibu bapa untuk mengenali potensi anak. Minat dan kecenderungan anak terhadap sesuatu bidang boleh dilihat melalui pembelajaran secara imersif dipraktikkan anak.
Aktiviti dilakukan bersama anak contohnya membaiki sendiri peralatan ataupun kerja pertukangan di rumah ialah pembelajaran secara imersif. Ini masanya untuk ibu bapa bereksperimen dengan memberikan ruang dan peluang kepada anak mencubanya. Sekurang-kurangnya mereka diberikan pendedahan dan dibenarkan untuk menggunakan peralatan bertukang dan membaik pulih.
Teras pendidikan TVET berdasarkan pengalaman pembelajaran bermakna. Semakin kerap kemahiran dilatih, semakin mahir seseorang menguasai satu-satu kemahiran. Pembelajaran bermakna amat signifikan dalam memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak.
John Dewey, pengamal dan ahli falsafah terkenal Barat menyifatkan pendidikan TVET yang bersifat pragmatik ini perlu melalui fasa latihan praktikal hasil daripada minat terhadap sesuatu bidang diceburi.
Ilmu berkaitan pertanian seperti asas pembenihan pokok, contohnya hanya boleh dipelajari apabila seseorang melakukan secara amali kaedah terbabit.
Bagaimana biji benih disemai, bercambah, ditanam dan dibaja untuk memastikan pokok tumbuh secara sihat menuntut kepada proses pengalaman serta kemahiran bersifat praktikal. Kegagalan yang berlaku dan faktor yang menyumbang kepada kegagalan untuk tumbesaran pokok menjadi medan terbaik memberikan pembelajaran bermakna dalam bidang pertanian.
Kajian daripada Forum Ekonomi Dunia, menunjukkan kemahiran bersifat generik atau insaniah amat diperlukan dalam sektor pekerjaan. Kemahiran yang dimaksudkan merangkumi penyelesaian masalah kompleks, berfikir secara kritikal dan kreatif, pengurusan sumber manusia, koordinasi, pengurusan emosi, penaakulan dan membuat keputusan, orientasi perkhidmatan, berfikir secara kognitif fleksibel dan perundingan.
Kemahiran yang bukan bersifat teknikal ini perlu dipupuk seawal usia kanak-kanak lagi. Justeru, pembabitan ibu bapa amat diperlukan bagi melatih kemahiran ini terutama ketika waktu PKP ini. Sebarang aktiviti direncana dan dibuat bersama anak perlu menerapkan kemahiran ini yang secara tidak langsung memberi ruang kepada mereka untuk dilatih dan bersedia untuk mempraktikkan kemahiran bersifat intrinsik di rumah.
Proses pembelajaran bersifat formal di institusi pendidikan tidak dinafikan penting untuk pembangunan ilmu pengetahuan dan teoretikal serta pembentukan budaya masyarakat setempat. Namun, pembelajaran formal tidak cukup untuk melengkapkan generasi muda kita pada hari ini untuk pasaran pekerjaan akan datang, justeru agak sukar untuk mereka menempatkan diri di dalam sektor pekerjaan.
Penyelesaian kepada perkara ini adalah dengan memberikan pendedahan awal kemahiran untuk mendapatkan pengalaman pekerjaan sesuai. Pelajar yang diberikan pendedahan awal dengan dunia pekerjaan dilihat lebih berpeluang mendapatkan pekerjaan disebabkan memahami keperluan alam pekerjaan sebenar. Minat dan kecenderungan dibina sewaktu kanak-kanak banyak membantu untuk survival dalam menceburi alam pekerjaan.
Keupayaan untuk belajar dan menerapkan kemahiran tertentu sewaktu PKP ialah kaedah untuk memupuk minat terhadap bidang diceburi. Dalam persekitaran yang kemahiran baharu contohnya perniagaan dalam talian, memerlukan seseorang individu kreatif dalam menghasilkan dan menjual sesuatu produk. Berfikiran inovatif dan kreatif akan menjamin kemampuan untuk menyesuai persekitaran ekonomi mencabar.
Kesimpulannya, waktu PKP memberikan peluang untuk kita sama-sama belajar kemahiran baharu serta ruang untuk belajar melalui kegagalan. Menguasai sesuatu kemahiran bukan perkara mudah, namun keberanian mencuba menjadi institusi pendidikan alami terbaik dalam memberikan makna kehidupan.
Pembabitan dalam bentuk kekeluargaan bukan sahaja mencambahkan lagi kebahagiaan dalam hidup berkeluarga, bahkan memberikan peluang untuk kita mengenali potensi anak dan melatih mereka untuk membuat perkara yang mereka sukai.
Galakan dan pembentukan minat ini hanya boleh dilakukan dengan ruang masa dan tempat diberikan pada waktu PKP ini. Ibu bapa perlu mengambil peluang ini untuk mengenali potensi dan minat anak mereka, justeru membantu mereka menyelusuri pembelajaran sepanjang hayat yang amat signifikan untuk kehidupan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber : PKP peluang latih kemahiran, kenal pasti potensi anak
0 Comments