Tindakan pelbagai hala tangani gejala minum arak - ACCIN

KUALA LUMPUR: Pemimpin pelbagai agama di negara ini perlu bekerjasama mencari penyelesaian masalah pengambilan alkohol sehingga membawa kemudaratan seperti kemalangan jalan raya dan keganasan rumah tangga.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu Badan Bukan Kerajaan Islam Malaysia (ACCIN), Mohd Jamaludin Shamsudin, berkata tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pemandu mabuk serta keganasan rumah tangga akibat minuman keras juga perlu digubal.

"Tindakan pelbagai hala daripada semua lapisan masyarakat dan pimpinan agama perlu dibuat segera bagi menangani gejala yang serius serta berpanjangan ini.

"Dalam syariat Islam, sudah jelas bahawa bukan saja meminum tetapi menjual, mengangkut dan menghidang arak juga adalah satu kesalahan. Namun sebagai masyarakat majmuk, kita akur bahawa melaksanakan pengharaman secara terus adalah agak sukar.

Mohd Jamaludin Shamsudin. - Foto fail NSTP
Mohd Jamaludin Shamsudin. - Foto fail NSTP

"Bukan saja Islam menegah pengambilan alkohol dan sebarang bahan memabukkan, malah agama lain juga jelas menegahnya, iaitu kepercayaan dalam Hindu, Buddha, Sikh, Bahai dan beberapa denominasi Kristian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Jamaludin berkata, umum mengetahui bahawa ketagihan alkohol boleh membawa bahaya besar kepada masyarakat dan negara, namun usaha untuk setidak-tidaknya mengehadkan penjualan minuman yang berleluasa itu masih kurang.

"Usaha murni kerajaan untuk mengehadkan pengambilan alkohol melalui cukai tinggi, mungkin tidak menghasilkan kesan diingini.

"Penjualan alkohol juga perlu dikawal rapi. Konsep 'drink responsibly' sudah terbukti gagal," katanya.

Justeru, Mohd Jamaludin berkata, pihaknya melihat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini sebagai peluang untuk kerajaan mengambil tindakan tegas bukan sahaja dari segi undang-undang jalan raya tetapi juga menyekat penjualan arak.



Sumber : Tindakan pelbagai hala tangani gejala minum arak - ACCIN

Post a Comment

0 Comments