SEREMBAN: Ketika beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bersiap sedia mendapatkan kebenaran menjalani latihan, berbeza pula buat pasukan UKM FC yang tidak mahu tergesa-gesa untuk memulakan latihan.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata pihaknya hanya akan memulakan latihan pada awal bulan depan kerana ingin melihat keadaan pasukan lain melakukannya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Keselamatan Negara (MKN).
"Pihak pengurusan pasukan berpendapat jika turun berlatih lebih awal ketika ini, tidak banyak dapat dilakukan dengan SOP ditetapkan itu. Mungkin selepas ini ada sedikit kelonggaran dari segi SOP. Kita memang mengharapkan begitu bagi membolehkan latihan lebih menyeluruh dapat dilakukan.
"Jadi, kita akan lihat dulu perkembangan pasukan lain. Tambahan pula latihan sendirian yang dilakukan oleh pemain dengan pemantauan jurulatih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu berjalan dengan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata, pihaknya yakin tempoh dua bulan menjelang saingan Liga M musim ini yang dijadual bersambung semula pada 1 September, mencukupi buat skuad bimbingan Sulaiman Hussin itu untuk membuat persiapan.
Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akur dengan keputusan dibuat di peringkat pengurusan dalam soal latihan skuad bimbingannya itu, walaupun selama tiga bulan tidak dapat menjalani latihan sempurna di padang kerana PKP.
Sumber : UKM FC tak tergesa-gesa turun berlatih
0 Comments