13 PATI termasuk budak 10 tahun ditahan

TAWAU: Seramai 13 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), Semporna di Jalan Tawau-Kalaban ketika mereka dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini, petang Ahad lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 14, PGA Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad, berkata kesemua mereka ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di lokasi berkenaan jam 4 petang.

Terdahulu katanya, pihaknya menahan dua pacuan empat roda (4WD) selepas didapati membawa penumpang dan muatan melebihi had yang dibenarkan.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit membawa seramai 13 orang penumpang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun selain seorang lelaki dewasa berusia 48 tahun dan sembilan wanita berusia antara 16 hingga 49 tahun.

"Siasatan lanjut kemudiannya mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, malam tadi.

Mohd Yacob berkata, kesemua PATI itu dipercayai bekerja di sektor peladangan di ladang kelapa sawit berhampiran.

Katanya, dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu atau tekong darat yang menguruskan kegiatan penyeludupan migran itu turut ditahan.

"Kesemua tangkapan dan rampasan termasuk dua buah kenderaan bernilai lebih RM 100,000.00 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 16(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.



Sumber : 13 PATI termasuk budak 10 tahun ditahan

Post a Comment

0 Comments