415 kes tuntutan palsu terhadap PERKESO sejak 2017

KUALA LUMPUR: PERKESO merekodkan 415 kes membabitkan penipuan tuntutan faedah palsu antara 2017 hingga tahun lalu, yang mana daripada jumlah kes berkenaan sejumlah RM26 juta diperoleh kembali agensi itu.

Ketua Eksekutif, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya menjangka menerima kembali tuntutan bayaran palsu sebanyak RM68 juta pada masa hadapan.

"Ada kes kita sedang siasat secara dalaman manakala ada yang sudah diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebagai contoh kes diserahkan kepada PDRM pada 2018 membabitkan tuntutan RM2.14 juta (sudah diterima) dan jangka panjang hampir RM30 juta (dijangka diterima).

"Di PERKESO, kita ada cawangan antifraud dianggotai bekas anggota polis dan majistret yang diyakini mempunyai pengalaman mengesan cubaan penipuan tuntutan.

"Kita juga ada sistem kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan data analisis dilakukan. Hasil analisis, kita akan menjalankan siasatan yang mana perlu sebelum menyerahkan kes kepada pihak berkuasa," katanya di sini, hari ini.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pengamal perubatan termasuk doktor terbabit secara langsung dalam kes penipuan itu.

"Saya tidak kata semua doktor terbabit dalam kes itu mungkin ada segelintir. Mungkin ada doktor menokok tambah maklumat dalam laporan perubatan bagi membolehkan beberapa individu membuat tuntutan palsu," katanya.

Ditanya perkembangan kes tiga beranak ditahan semalam kerana tuntutan palsu terhadap PERKESO, Mohammed Azman berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut kerana ia akan mengganggu proses siasatan.

Semalam, tiga beranak itu dilaporkan ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi tuntutan palsu terhadap PERKESO bernilai lebih RM1 juta.

Pasangan suami isteri bersama anak perempuan berusia 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya, kira-kira jam 2.15 petang.



Sumber : 415 kes tuntutan palsu terhadap PERKESO sejak 2017

Post a Comment

0 Comments