57 sekolah laksana model penggiliran

KUALA LUMPUR: Hanya 54 sekolah mengguna model penggiliran sempena pembukaan sepenuhnya sesi persekolahan esok.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata model penggiliran itu adalah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan murid walaupun melaksanakan model dua sesi.

"Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

"Model ini hanya dilaksanakan sebagai pilihan terakhir selepas semua usaha untuk melaksanakan model satu sesi dan dua sesi tidak berhasil.

"Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kementerian Pendidikan pada 1 Julai lalu memperkenal tiga model waktu persekolahan yang boleh dijadikan panduan oleh pentadbir, mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata model berkenaan ialah model satu sesi, model dua sesi dan model penggiliran.

Bermula esok, takwim persekolahan di negara ini kembali berlangsung sepenuhnya dengan semua murid Tahun Satu hingga Empat kembali ke sekolah.

Sebelum ini pada 17 Julai lalu, pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar Tingkatan Empat dan Enam Semester Satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) kembali bersekolah.

Sesi pembukaan persekolahan terawal adalah membabitkan pelajar bagi kelas peperiksaan iaitu bermula pada 24 Jun lalu.

Mengulas lanjut Habibah berkata, pelaksanaan model penggiliran itu dibuat jika dua sesi persekolahan tidak dapat menampung keseluruhan bilangan pelajar sekolah terbabit.

"Justeru model penggiliran ini akan memberi keutamaan kepada pelajar yang berada di kelas peperiksaan.

"Sebagai contoh, pelajar kelas peperiksaan Tingkatan Lima, Enam datang ke sekolah setiap hari dan jika mencukupi, keutamaan seterusnya kepada pelajar Tingkatan Empat. Sementara kita buat penggiliran kepada pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bergantung pada kapasiti dan enrolmen di sekolah itu.

"Jadi apabila penggiliran berlaku, ada pelajar yang terus belajar dari rumah, mungkin dia datang sekali atau dua kali seminggu dan pada hari-hari lain terus melalui pembelajaran dari rumah," katanya.

Habibah berkata, bermula esok, pembelajaran di sekolah rendah dan menengah kembali seperti biasa.

Katanya, memandangkan kehadiran pelajar mencapai 100 peratus, pihaknya terlebih dahulu merangka beberapa langkah bagi memastikan warga sekolah mematuhi garis panduan termasuk penjarakan sosial.

"Misalnya pengajaran dan pembelajaran (PdP) kini disesuaikan secara gabungan atau 'mass teaching' yang menghimpunkan semua pelajar dari tingkatan sama untuk sesi PdP mata pelajaran sama.

"Kaedah ini sekali gus membolehkan penjarakan sosial dapat terus dipraktikkan kerana PdP itu menggunakan dewan berbanding kelas yang ruangannya terhad," katanya.



Sumber : 57 sekolah laksana model penggiliran

Post a Comment

0 Comments