
DHAKA: Sekurang-kurangnya enam aktivis Orang Asli ditembak mati dalam serang hendap dekat Chittagong Hill Tract, kawasan pergolakan yang menyaksikan ramai terkorban sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penyerang bersenjata didakwa menyerang kumpulan serpihan pemberontak Jan Sanhati Samiti (JSS) dekat Bagmara di daerah Bandarban, kira-kira 400 kilometer dari Dhaka.
Timbalan Ketua Polis Bandarban, SM Mobassher, berkata ketua kumpulan terbabit adalah antara yang terkorban manakala tiga lagi cedera dalam tragedi itu.
JSS adalah antara kumpulan pemberontak utama di tiga daerah pergunungan Chitaggong termasuk Bandarban.
Pertempuran kumpulan terbabit dengan pihak berkuasa sejak awal 1980-an sehingga perjanjian damai ditandatangani pada 1997 mengakibatkan lebih 2,500 orang terkorban di kawasan berkenaan.
Biarpun terdapat perjanjian dan anggota tentera berundur dari wilayah itu, pergolakan terus berlaku kerana puak Orang Asli menuntut penutupan perkampungan Benggali dan kem tentera dilaksana, seperti mana terkandung dalam perjanjian.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, berlaku perpecahan dalam kalangan kumpulan pemberontak, mengakibatkan pergaduhan dalam kalangan mereka sehingga meragut nyawa. - AFP
Sumber : 6 aktivis ditembak mati di Bangladesh
0 Comments