BEIJING: China melaporkan sebanyak 101 kes baharu COVID-19 hari ini, jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh tiga bulan, ketika gim, bar dan muzium ditutup di kawasan berisiko.
Daripada jumlah itu, 98 adalah kes jangkitan tempatan, kebanyakannya di wilayah Xinjiang, dengan satu kluster jangkitan yang mula dikesan awal bulan ini menyebabkan ujian saringan besar-besaran dan beberapa sekatan dilakukan.
China sebelum ini berjaya mengawal penularan jangkitan tempatan menerusi perintah berkurung bersasar, sekatan perjalanan dan ujian saringan.
Bagaimanapun, penularan sporadik di beberapa wilayah menggambarkan kesukaran untuk mengekang penularan wabak itu sepenuhnya.
Kali terakhir negara merekodkan jumlah kes baharu yang tinggi adalah pada 13 April lalu, apabila 108 jangkitan direkodkan, dengan majoritinya adalah kes import.
Pihak berkuasa menumpukan pada satu kluster yang dikesan minggu lalu di pusat pemprosesan makanan di Dalian.
Pihak berkuasa melaporkan, pekerja di pusat itu menguruskan bungkusan makanan laut tercemar yang diimport dari luar.
Sebanyak 52 kes dikesan di bandar pelabuhan itu sepanjang minggu ini, dengan 30 daripadanya membabitkan kakitangan kilang itu.
Lebih tiga juta penduduk Dalian dan Zhao Lian sudah diuji, kata ketua suruhanjaya kesihatan bandar itu, hari ini, yang menutup kawasan awam seperti gim, bar, perpustakaan, muzium, restoran dan spa.
Susulan penularan di Beijing pada Jun lalu yang menjangkiti lebih 300 penduduk, pihak berkuasa Dalian menggunakan kaedah bersasar yang sama bagi mengekang wabak itu berdasarkan tahap risiko di beberapa daerah di bandar itu.
Secara keseluruhan, 84,060 penduduk China dijangkiti COVID-19, dengan 482 daripadanya masih dirawat di hospital. Berdasarkan rekod rasmi, sebanyak 4,634 kematian dicatatkan akibat virus itu. - AFP
Sumber : COVID-19: China merekodkan kes harian tertinggi dalam tiga bulan
0 Comments