
PUTRAJAYA: Sebanyak 69.1 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia membabitkan warga emas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya bimbang jika orang ramai mula mengabaikan kepentingan melindungi warga emas daripada dijangkiti COVID-19.
Beliau berkata orang ramai perlu mempraktikkan langkah pencegahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Baru-baru ini telah dilaporkan satu lagi kes kematian membabitkan warga emas iaitu dalam kluster Rumah Warga Emas Kluang. Setakat ini, kluster itu telah melaporkan sejumlah 11 warga emas yang dikesan positif COVID-19.
"Kementerian Kesihatan (KKM) amat bimbang bahawa orang ramai mulai tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19.
"Orang ramai sewajarnya mengamalkan langkah pencegahan jangkitan terutama memakai pelitup muka, amalan kebersihan tangan yang tinggi dan penjarakan sosial," katanya pada sidang media harian perkembangan semasa COVID-19 di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham juga menasihati ahli keluarga atau penjaga yang duduk serumah bersama warga emas supaya bertanggungjawab memastikan golongan itu sentiasa dijaga dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19.
Katanya, begitu juga setiap individu perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti dan negara demi menjaga keselamatan serta kesihatan warga emas.
Sumber : COVID-19: Hampir 70 peratus kematian babitkan warga emas
0 Comments