COVID-19: Kemasukan matrikulasi babit daerah Kuching ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Kemasukan 289 pelajar dari daerah Kuching, Sarawak, ke Kolej Matrikulasi seluruh negara ditangguhkan hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, kemasukan 154 pelajar ke Kolej Matrikulasi Sarawak terletak di daerah berkenaan turut mengalami penangguhan yang sama.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan ia adalah susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Sarawak untuk mengehadkan pergerakan perjalanan antara zon dari 1 hingga 14 Ogos ini.

Selain itu, katanya, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan pada 29 Julai lalu mengenal pasti daerah Kuching sebagai Zon Merah.

Beliau berkata, pihak Kolej Matrikulasi akan menghubungi semua pelajar yang terbabit dengan penangguhan itu.

"Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk kemasukan ke Kolej Matrikulasi dan terjejas akibat penangguhan ini, Kementerian Pendidikan akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi.

"Pelajar perlu mengemukakan tuntutan yang disokong oleh dokumen pembelian tiket itu," katanya.



Sumber : COVID-19: Kemasukan matrikulasi babit daerah Kuching ditangguhkan

Post a Comment

0 Comments