MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka tidak pernah mengeluarkan arahan larangan kepada pekerja di sebuah kilang di sini menghantar anak-anak mereka ke sekolah, disebabkan terdapat pekerja di kilang itu yang positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman, berkata hasil pengesanan kontak dan siasatan dijalankan membabitkan kes itu mendapati tiada risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja lain dan tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap keluarga dan anak-anak pekerja di kilang berkenaan.
"Saya memohon orang ramai supaya merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan dan JKN Melaka berkaitan perkembangan kes COVID-19 di negara dan negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan terdapat mesej yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini, berkenaan larangan kepada ibu bapa yang bekerja di kilang itu untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah. – BERNAMA
Sumber : COVID-19: Tiada arahan larang pekerja kilang hantar anak ke sekolah - EXCO Melaka
0 Comments