
TOKYO: Kerajaan metropolitan Tokyo melaporkan 67 jangkitan baharu COVID-19 semalam, jumlah kes harian tertinggi sejak darurat di ibu negara Jepun itu ditarik balik lebih sebulan lalu, menurut seorang pegawai.
Jumlah itu, meningkat dari 54 orang pada Selasa, tatkala meningkatnya kebimbangan terhadap gelombang jangkitan kedua di bandar raya itu selepas sekatan perniagaan dan sosial dikurangkan secara berperingkat, lapor Kyodo News.
Angka itu melepasi 50 untuk hari keenam berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 Tokyo kepada hampir 6,300.
Sejak darurat ditarik balik pada 25 Mei, jumlah kes tertinggi sebelumnya adalah 60, yang dilaporkan Ahad lalu.
Walaupun banyak jangkitan baharu dilaporkan baru-baru ini dalam kalangan orang muda, yang telah mengunjungi atau bekerja di tempat hiburan malam, kerajaan metropolitan pada Selasa lalu melancarkan kriteria baharu untuk sistem amarannya yang akan lebih bergantung pada nasihat profesional perubatan.
Tidak seperti sistem 'peringatan Tokyo' sebelumnya, ia tidak mempunyai sasaran angka untuk mencetuskan amaran awam.
Situasi jangkitan dan kesediaan perubatan bandar raya akan dinilai secara menyeluruh oleh 'jawatankuasa pemantauan' kerajaan metropolitan berdasarkan tujuh kriteria, termasuk jumlah pesakit baharu, orang yang dirawat di hospital dan mereka yang dalam keadaan serius. - BERNAMA
Sumber : COVID-19: Tokyo catat 67 kes, tertinggi selepas darurat ditarik balik
0 Comments