PETALING JAYA: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan Datuk Seri R Arumugam, yang mayatnya ditemui di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun lalu.
Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42, didakwa menculik Arumugam, 55, yang juga pemaju hartanah, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah 50 juta dolar Singapura (RM153 juta).
Seorang lagi tertuduh, yang juga bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Datuk K Ramachandran, turut dituduh atas kesalahan bersubahat menculik mangsa sama, dengan tujuan mendapatkan wang serupa.
Kes disebut di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah mengeluarkan arahan untuk pendakwaan terhadap enam individu terbabit mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Enam individu itu antara 11 lelaki ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa yang sudah reput ditemui dalam kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang Bestari, Rawang pada 27 Jun lalu selepas 18 hari diculik.
Mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun, diculik tiga lelaki ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.
Keluarga mangsa kemudian dihubungi suspek yang meminta wang tebusan berjumlah RM154 juta.
Polis mengesahkan motif penculikan berkenaan bermotifkan wang dan dipercayai ada kaitan dengan hutang perniagaan.
Setakat ini, polis menahan 11 suspek berusia antara 20 hingga 56 tahun berhubung kes berkenaan termasuk dalang utama.
Sumber : Culik Datuk Seri, enam lelaki termasuk seorang ahli politik didakwa
0 Comments