'Elak pemain turun dari langit'

KUALA LUMPUR: Ketegasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memilih pemain menganggotai skuad negara penting bagi mengelak timbulnya sebarang masalah atau isu berbangkit.

Pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan semua pemain yang ingin mewakili Malaysia perlu melalui proses pemilihan yang digariskan FAM bagi mengelak pemain 'turun dari langit'.

Beliau berkata, FAM sudah tentu ada alat penilaian yang praktikal dan objektif yang boleh menilai kebolehan teknikal dan sikap pemain untuk dipilih menyertai skuad negara.

"Walaupun nama sebesar Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau siapa sahaja, sekiranya penilaian itu tidak dapat dipenuhi, pemain terbabit mestilah digugurkan walaupun dikecam atas dasar prinsip dan prosedur.

"Ketegasan FAM adalah simbol kedaulatan dan maruah negara yang tidak boleh diborong dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada BH Sukan, semalam.

BH Sukan semalam melaporkan FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam bertegas menolak amalan dwistandard, mengambil jalan pintas mahupun melanggar peraturan dan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memilih pemain untuk menganggotai pasukan kebangsaan.

Stuart menjelaskan badan induk itu sama sekali tidak akan melanggar peraturan sedia ada, sama ada dari sudut SOP, proses dokumentasi yang ditetapkan kerajaan dan proses dalaman FAM semata-mata untuk memenuhi hasrat mana-mana individu.

Kenyataan itu sebagai merujuk kepada kes berhubung keputusan badan induk itu menolak hasrat Marcel Kalonda yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai pemain warisan Malaysia dan kepulangan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara.

Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, FAM boleh melakukan perkongsian bijak dengan pihak yang mampu meningkatkan prestasi dan mentaliti modal insan dalam pasukan negara seperti universiti dan sektor swasta.

"Malaysia pernah bertanding di Olimpik dua kali, jadi tak mustahil untuk kembali layak bertanding di kejohanan itu. Liverpool ambil masa 29 tahun untuk kembali menjadi pasukan yang hebat, mengapa kita tak boleh.

"Keterbukaan FAM di bawah Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) perlukan pasukan dan bantuan semua peringkat masyarakat bagi memartabatkan status bola sepak negara," katanya.



Sumber : 'Elak pemain turun dari langit'

Post a Comment

0 Comments