
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang pemandu yang kenderaannya terjunam ke dalam sungai bersebelahan Jalan Kuching, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, pemandu kenderaan jenis Toyota DX yang dalam perjalanan dari arah Jalan Kuching ke Bulatan Dato Onn dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di situ.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata buat masa ini pihaknya sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang dikatakan cedera ringan.
"Saksi awam memaklumkan pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.
"Beliau dikatakan beredar dari tempat kejadian sejurus kemalangan untuk ke klinik berhampiran yang tidak dapat dipastikan lokasinya," katanya dalam satu kenyataan.
Semakan polis mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 23 tahun dan beralamat di Taman TTDI Jaya, Selangor.
Katanya, kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik kenderaan keluar dari dalam sungai.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Hang Tuah melaksanakan kerja mengeluarkan kenderaan itu dari sungai.
Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan kerja mencari dan menyelamat di tempat kejadian untuk memastikan tiada mangsa terperangkap dalam kenderaan.
"Selepas melakukan pencarian di dalam kenderaan dan di kawasan sekitar sungai, tiada mangsa ditemui.
"Pihak kami kemudian dimaklumkan oleh polis bahawa pemandu kenderaan itu dikatakan berjaya menyelamatkan diri," kata kenyataan itu.
Pasukan bomba bersama petugas DBKL kemudian melakukan operasi bersama menaikkan kenderaan itu ke tebing dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 10.47 pagi.
Sumber : Kereta terjunam masuk sungai
0 Comments