Kes baharu COVID-19 cetus kebimbangan

BEIJING: Kes baharu COVID-19 di Beijing mencetuskan kebimbangan terhadap gelombang kedua pandemik di China, namun negara itu dilihat bakal menewaskan virus berkenaan sekali lagi, menggunakan strategi yang dirumus khas.

Pihak berkuasa tidak mengulangi perintah berkurung yang dilaksanakan ketika virus berasal dari Wuhan itu menular buat kali pertama akhir tahun lalu.

Mereka sebaliknya menutup beberapa kawasan kediaman dan memberi tumpuan kepada saringan kesihatan besar-besaran, membabitkan lebih separuh daripada 21 juta penduduk keseluruhan di Beijing.

Pendekatan itu dilihat berhasil, apabila bilangan kes kembali menurun kepada satu angka menjelang awal Julai dan sifar sejak tiga hari lalu.

China berusaha sedaya upaya untuk melindungi ibu negara mereka daripada ancaman COVID-19, dengan mengubah laluan penerbangan ke bandar berbeza, selain mewajibkan pelawat menjalani perintah kuarantin dan ujian virus.

Namun bermula Jun lalu, dengan hanya sejumlah kecil kes di seluruh negara, Beijing melonggarkan sebahagian besar peraturan, dan orang awam tidak lagi diwajibkan menggunakan topeng muka jika berada di luar.

Kemunculan semula pesakit baharu pada 11 Jun seperti dijangka, mencetuskan kebimbangan ramai.

Majoriti 335 kes baharu itu dikesan berpunca dari pasar borong Xinfadi, selatan Beijing, yang diarah tutup tidak lama kemudian. - AFP



Sumber : Kes baharu COVID-19 cetus kebimbangan

Post a Comment

0 Comments