
KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dijangka terbang ke Belgium bulan depan sekiranya semua urusan membabitkan dokumentasi dapat diselesaikan secepat mungkin.
Jurucakap K V Kortrijk memaklumkan pihaknya kini sedang menguruskan beberapa dokumen yang diperlukan dan sedang menunggu masa untuk mendapat kelulusan sebelum langkah seterusnya dapat diambil.
"Buat masa ini, kami masih uruskan dokumen Luqman. Antara dokumen yang perlu diselesaikan adalah visa dari K V Kortrijk yang mana ia sedang dalam proses selain dokumen pengesahan berkelakuan baik daripada kerajaan Malaysia.
"Berdasarkan perancangan asal, Luqman akan terbang ke Belgium pada awal Ogos ini dan kalau boleh, memang kita mahukan dia untuk terbang lebih awal ke sana kerana lebih cepat, lebih bagus.
"Tetapi mungkin akan lewat (Luqman ke Belgium) sekiranya ada masalah lain. Apapun, kami jangka semuanya akan berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah," katanya.
Terdahulu, impian anak kelahiran Kota Bharu itu untuk berkelana ke luar negara tercapai selepas sah akan menyertai K V Kortrijk yang beraksi dalam divisyen satu Liga Belgium.
Usaha itu dapat dijayakan selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencapai persetujuan dengan K V Kortrijk untuk perpindahan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, awal bulan lalu.
Perpindahan itu sekali gus menutup spekulasi mengenai masa depannya yang sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab Eropah yang lain seperti Bayer Leverkusen dan Newcastle United.
Sebagai rekod, pemain berusia 18 tahun itu dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020 dan muncul sebagai penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 walaupun sekadar beraksi dalam dua perlawanan.
Selain itu, dia turut menjadi tonggak buat skuad Bawah 19 Tahun (B-19) pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019.
Sumber : Luqman ke Belgium bulan depan
0 Comments