Majikan wajib iklan kerja kosong di portal JobsMalaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia bercadang mewajibkan majikan mengiklankan semua kekosongan jawatan di portal JobsMalaysia untuk memberi keutamaan kepada pencari kerja tempatan sebelum mengambil pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan itu bagi mengurangkan pengangguran di kalangan sebahagian rakyat yang hilang pekerjaan akibat penularan wabak COVID-19.

"Kementerian sentiasa berusaha memastikan golongan pencari kerja tempatan termasuk graduan dapat diserapkan dalam bidang pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelayakan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran.

"Justeru, majikan akan diwajib mengiklankan semua kekosongan jawatan yang ingin ditawarkan di Portal JobsMalaysia dalam tempoh tidak kurang daripada 30 hari sebelum mereka bercadang mengambil pekerja asing dan pegawai dagang (ekspatriat)," katanya.

Katanya, tindakan itu supaya jabatan dan agensi di bawah kementerian mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakan pemadanan kerja dan memberi keutamaan penggajian kepada calon pencari kerja tempatan.

"Agensi pekerjaan swasta (APS) atau agensi yang mengurus serta memberi kebenaran bagi pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang diingatkan untuk memantau dan memastikan majikan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang ditetapkan kerajaan.

"Majikan juga diwajibkan mematuhi elemen 'Foreign Workers First Out' (FWFO) selaras dengan peruntukan Seksyen 60N Akta Kerja 1955 dan 'Code of Conduct for Industrial Harmony'," katanya.

Ini bagi memastikan dalam aspek berkaitan pemberhentian, perkhidmatan pekerja asing mestilah ditamatkan terlebih dahulu bagi menjamin kelangsungan pekerjaan pekerja tempatan.

"Jika ada syarikat ingin mengecilkan saiz perniagaan dengan mengurangkan pekerja tempatan dan pekerja asing, majikan diwajibkan melaporkannyai kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran menerusi Borang Pemberhentian Kerja (PK) dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tindakan itu diambil.

"Pelaporan ini adalah selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 63 Akta Kerja 1955," kata Saravanan.

Beliau berkata, maklumat itu penting bagi membolehkan JTK dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat perancangan sewajarnya dalam membantu penempatan semula pekerjaan kepada mereka yang terjejas.

Dalam pada itu, katanya, kementerian menggalakkan calon yang mencari pekerjaan di negara ini untuk mendaftarkan diri di MYFutureJobs PERKESO yang membantu sebagai pencari kerja dan melancarkan padanan pekerjaan.



Sumber : Majikan wajib iklan kerja kosong di portal JobsMalaysia

Post a Comment

0 Comments