
SEPANYOL: Juara MotoGP, Marc Marquez dijadual menjalani satu ujian perubatan hari ini bagi mengenalpasti sama ada dirinya yang menjalani pembedahan di bahagian tangan itu cukup cergas untuk menyertai Grand Prix (GP) Andalusia minggu ini.
"Selepas pembedahan berlangsung dengan jayanya pada Selasa, @MarcMarquez93 kini kembali semula ke Jerez," kata pasukan dalam Honda menerusi akaun Twitter rasmi mereka. "
Laman sesawang Kejuaraan Motosikal Dunia, motogp.com mengesahkan juara dunia enam kali dalam kelas MotoGP berusia 27 tahun itu cuba untuk menunggang semula, hanya seminggu selepas terjatuh pada perlumbaan pembukaan musim bagi kelas berkenaan di sini.
Dia mengalami kemalangan teruk selepas hilang kawalan ke atas jenteranya pada perlumbaan GP Sepanyol, Ahad lalu.
Marquez kemudian di bawa keluar daripada trek menggunakan ambulans.
Pembedahan dilakukan di sebuah hotel Barcelona dengan satu keping besi titanium dimasukkan ke tangan kanannya.
"Sasarannya adalah untuk kembali ke Kejuaraan Dunia 2020 secepat mungkin dengan tarikhnya dijangka lebih awal," kata pasukan ketika itu.
Dalam pada itu, MotoGP.com turut melaporkan yang Marquez akan menjalani satu ujian perubatan hari ini.
Jangkaan awal untuk dia kembali memburu gelaran dunia ketujuh adalah di GP Republik Czech pada 9 Ogos ini.
Sekiranya dia berjaya meraih gelaran berkenaan, dia akan menyamai pencapaian Valentino Rossi - legenda yang pernah menafikan jangkaan perubatan ketika beraksi di GP Aragon 2017, hanya 19 hari selepas patah kaki.
- AFP
Sumber : Marquez harap dapat kembali berlumba di GP Andalusia
0 Comments