![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/sejah1-O_BHfield_image_listing_featured.var_1593618220.jpg)
KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera dibangunkan oleh syarikat tempatan berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC), bukannya syarikat asing seperti didakwa sesetengah pihak.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini berkata, KPISoft Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu ialah syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 2010.
Katanya, aplikasi itu dibangunkan selepas Kementerian Kesihatan memohon bantuan beberapa agensi pada peringkat permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, pada 18 Mac lalu.
MKN berkata, ia bagi menilai aplikasi dibangunkan syarikat KPISoft Sdn Bhd secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk dijadikan aplikasi peringkat nasional bagi pengawasan penularan wabak COVID-19.
Agensi terbabit ialah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), MKN dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
"Penilaian dilaksanakan NACSA, MKN dan MAMPU mendapati aplikasi ini paling tersedia untuk dilaksanakan pada peringkat nasional, berbanding mana-mana aplikasi ditawarkan kepada kerajaan pada masa berkenaan.
"Ini mengambil kira keperluan mendesak daripada Kementerian Kesihatan. Pembangunan aplikasi ini hasil kerjasama strategik antara MKN, Kementerian Kesihatan, MAMPU, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi," katanya.
KPISoft Sdn Bhd ialah syarikat tempatan berstatus MSC, diasaskan dua rakyat tempatan, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif bagi KPISoft Malaysia dan Asia Pasifik, Anuar Rozhan serta R Raveenderan yang juga pemegang saham terbesar, pada 2010.
Selain itu, Ketua Pegawai Kewangan Global dan Ketua Arkitek Pembangunan Aplikasi Global ialah rakyat tempatan dan melaksanakan operasi global dan berpangkalan di Malaysia.
Kenyataan itu berkata, KPISoft berkembang menerusi bimbingan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pada 2010, sebelum menempa nama pada peringkat serantau dengan pembukaan ibu pejabat di Asia Pasifik, empat tahun kemudian.
"KPISoft terus menempa nama pada peringkat global termasuklah di Amerika Syarikat, Timur Tengah, Eropah, Singapura dan India dan kini mempunyai pejabat operasi di 15 negara.
"KPISoft antara syarikat tempatan berjaya mengembangkan nama pada peringkat global. Aplikasi dibangunkannya turut digunakan syarikat tersenarai sebagai Fortune 500," katanya.
Sumber : MySejahtera dibangunkan syarikat tempatan
0 Comments