Najib harap prosiding rayuan disegerakan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau berharap prosiding rayuan beliau berhubung sabitan pertuduhan kes membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dapat didengar secepat mungkin.

Beliau berkata, perancangan itu bagi memastikan kes yang dikaitkan dengannya berupaya didengari seberapa segera.

"Ini kerana saya ingin teruskan usaha membersihkan nama saya dan perjuangan ini akan tetap saya teruskan.

"Seperkara yang ingin saya maklumkan dalam mahkamah tadi, hakim izinkan saya untuk nyatakan sepatah dua kata pada penghujung perbicaraan dan antara perkara yang saya sebut adalah kejayaan atau pencapaian waktu saya menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun.

"Kedua, saya sudah ulangi sumpah laknat saya, yakni Wallahi Wabillahi Watawlahi bahawa saya tidak meminta, mahu pun ditawarkan atau dalam pengetahuan saya mengenai wang RM42 juta yang dikatakan masuk ke akaun saya.

"Ini pengakuan yang saya lahirkan kerana saya nak nyatakan dengan setegas-tegasnya pendirian, pengakuan ini adalah yang benar dan saya sanggup lafazkan sumpah ini dua kali petang tadi.

"Oleh kerana kes ini dalam proses lanjutan di peringkat rayuan, saya tidak boleh cakap lebih lagi," katanya kepada pemberita, selepas selesai mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas sabitan terhadap dirinya itu, Najib berkata, Mahkamah Tinggi adalah peringkat pertama, kerana usaha untuk membersihkan namanya masih berupaya dilanjutkan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Keputusan (hari) ini dibuat oleh seorang hakim. Kita ada peruntukan untuk buat rayuan di Mahkamah Rayuan kerana di sana ada panel tiga hakim.

"Mudah-mudahan kita dapat mengemukakan hujahan yang boleh diterima nanti," katanya.



Sumber : Najib harap prosiding rayuan disegerakan

Post a Comment

0 Comments