
KUALA LUMPUR: Pelajar Tingkatan Empat dan Enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.
KPM dalam kenyataannya memaklumkan keutamaan diberikan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Enam dalam usaha memastikan mereka mempunyai masa mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam tahun depan.
Katanya, pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga di sekolah berasrama pula akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 3 Ogos depan. Sebelum tarikh itu, pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga akan meneruskan pembelajaran di rumah.
"Keputusan ini terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM)," jelas kenyataan itu, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan, akan bermula pada 15 Julai secara berperingkat.
Mengulas lanjut, KPM memaklumkan, beberapa penambahbaikan sudah dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Penambahbaikan ini dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan sudah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 60 Tahun 2020 pada 9 Julai 2020," katanya.
Dalam pada itu, KPM membenarkan pelajar pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga, susulan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu.
"KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan KKM dalam memastikan semua murid sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan yang selamat.
"KPM memohon ibu bapa, guru dan murid dapat memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah, khususnya sekolah berasrama, berjalan dengan lancar," katanya.
Sumber : Pelajar Tingkatan 4, 6 sekolah asrama bersekolah 15 Julai
0 Comments