
JOHOR BAHRU: Semuanya berjalan lancar dengan kedua-dua pihak Malaysia dan Singapura nampak ceria ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong, bertegur sapa di tengah-tengah Tambak Johor, awal pagi tadi, sebagai simbolik kesepakatan untuk menyambung semula projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Walaupun kedua-dua pemimpin memakai pelitup muka disebabkan pandemik COVID-19, suasana pertemuan jelas baik dengan mereka berbual mesra pada majlis cukup bersejarah bagi Malaysia dan juga Singapura.
"Terima kasih kerana menyelesaikan urusan perjanjian (RTS) dengan kami," kata Hsien Loong kepada Muhyiddin yang kemudian menjawab, "Terima kasih kerana bekerja keras."
Seterusnya, Hsien Loong berkata, projek itu akan bermula dan disiapkan dalam tempoh enam tahun.
"Insya-Allah," jawab Muhyiddin.
Kedua-dua pemimpin itu yang sedang bekerja keras menghadapi cabaran mengawal wabak COVID-19 di negara masing-masing, turut meluangkan masa berbual mengenai keadaan semasa, khususnya berkaitan penularan di kedua-dua negara.
"Saya berharap lain kali, saya boleh menyeberang garisan ini (sambil menunjukkan garisan kuning yang memisahkan tempat mereka berdiri) tanpa dikuarantin," katanya kepada Hsien Loong, sekali gus mencetuskan gelak tawa kedua-dua pemimpin itu.
Kedua-dua mereka bersama menteri kabinet yang lain dilihat sepakat mengenakan baju batik pada majlis berkenaan.
Muhyiddin dan Hsien Loong berbual kira-kira 15 minit dalam pertemuan itu yang boleh dianggap cukup bersejarah dan simbolik memandangkan ia adalah perjumpaan kali pertama dua pemimpin di atas Tambak Johor.
Tambak itu dilalui lebih 350,000 pengguna, setiap hari, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Ia juga adalah perjumpaan bersemuka yang pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu dan Hsien Loong sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri pada 27 Julai susulan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bawah pimpinannya pada pilihan raya, baru-baru ini. - BERNAMA
Sumber : Pertemuan bersejarah di Tambak Johor berjalan lancar
0 Comments