Real hanya perlu satu lagi kemenangan

MADRID: Real Madrid hanya memerlukan satu kemenangan untuk meraih gelaran La Liga selepas berjaya mengekang kebangkitan babak kedua Granada pada aksi sebentar tadi untuk menang 2-1 dan kini empat mata di depan Barcelona.

Berbaki dua perlawanan, Real akan dimahkotakan juara jika mereka menewaskan Villarreal di laman sendiri awal pagi Jumaat ini waktu Malaysia tanpa mengira bagaimana kedudukan Barca di Camp Nou berdepan Osasuna.

Namun mereka dipaksa bekerja keras oleh Granada yang menyasarkan untuk ke Eropah dan tidak diragui pasukan itu menghasilkan banyak kejutan musim ini selepas hanya naik dari divisyen dua tahun lalu.

Ferland Mendy dan Karim Benzema tampak berada di landasan tepat membawa Real mencipta kemenangan selesa di Los Carmenes tetapi Granada berubah selepas rehat dan jaringan Darwin Machis pada minit ke-50 memberikan mereka harapan.

Penyerang Granada, Carlos Fernandez (kanan) menewaskan penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois pada perlawanan LaLiga, sebentar tadi. - Foto AFP
Penyerang Granada, Carlos Fernandez (kanan) menewaskan penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois pada perlawanan LaLiga, sebentar tadi. - Foto AFP

Real terpaksa bertahan pada penghujung aksi dan memerlukan Sergio Ramos untuk mengeluarkan satu cubaan di atas garisan ketika skuad kendalian Zinedine Zidane berusaha mengekalkan kemenangan kesembilan berturut-turut.

"Kami tidak boleh berehat, hanya sedikit lagi dan kami perlu teruskan," kata Ramos.

"Kami membiarkan kawalan kami sedikit longgar pada babak kedua. Kami menang babak pertama tetapi kalah babak kedua dan itu mungkin amaran buat kami. Kami perlu pastikan tidak ulangi kesilapan itu."

- AFP



Sumber : Real hanya perlu satu lagi kemenangan

Post a Comment

0 Comments