Saidi serahkan RM5 juta kepada Rosmah - Saksi

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menyerahkan wang tunai RM6.5 juta kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai sumbangan kerana membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek solar hibrid.

Perkara itu didedahkan rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Rosmah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, penyerahan itu dilakukan dalam dua pertemuan berasingan, di mana penyerahan pertama adalah sebanyak RM5 juta melalui pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, sekitar Disember 2016.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Rayyan, berkata penyerahan kedua sebanyak RM1.5 juta dibuat pada 7 September 2017 ketika beliau dan Saidi pergi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta, di sini.

"Dalam perjumpaan itu, Saidi memberitahu Rosmah bahawa beliau akan memberikan sedikit wang sekarang dan bayaran lain akan menyusul berdasarkan kemajuan projek.

"Rosmah sekadar mengangguk tanda setuju dan mengatakan "okaylah", beliau juga tidak kelihatan terkejut dengan pemberian wang itu," katanya.

Tambahnya, pada pertemuan pertama itu juga, Saidi turut memberitahu bahawa beliau memberikan wang tunai sebanyak RM500,000 kepada Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak.

Rayyan, berkata sehingga kini projek hibrid solar itu tidak dilaksanakan langsung oleh syarikat Jepak walaupun pembayaran awal sebanyak lebih kurang RM63 juta sudah diterima daripada kerajaan untuk penyelenggaraan genset diesel dan projek solar hibrid.

"Walaupun mereka masih meneruskan penyelenggaraan genset diesel di sekolah-sekolah, namun projek solar hibrid tidak dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, ketika disoal peguam Datuk Akberdin Abdul Kader sama ada Saidi memaklumkan kepada Rizal bahawa beliau berhasrat membuat tawaran sumbangan politik melalui Rosmah kepada Datuk Seri Najib Razak, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rayyan, menjawab: "Tidak setuju."

"Saidi hanya membuat tawaran duit bagi mendapatkan projek solar hibrid."

Akberdin: Tawarkan sebagai sumbangan politik?

Rayyan: Itu Rizal yang beritahu, supaya tawarkan sebagai sumbangan politik.

Akberdin: Setuju, sumbangan politik datang daripada mulut Rizal.

Rayyan: Benar dan kemudian Saidi sambut dan setuju.

Tambahnya lagi, Rizal juga yang memaklumkan bahawa Rosmah menaikkan bayaran sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan projek.

Rayyan juga bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa Rosmah tidak pernah mengadakan perjumpaan di luar bersama Saidi.

Sebaliknya, kenaikan kadar 15 peratus itu keluar daripada mulut Rizal.

Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui kebenaran fakta berhubung kenaikan bayaran daripada 10 peratus kepada 15 peratus kerana ia keluar daripada mulut Rizal dan bukan Rosmah; Rayyan, menjawab: "Saya percaya apa yang Rizal cakap."

Rosmah berdepan tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Saidi, 60.

Wang itu sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.



Sumber : Saidi serahkan RM5 juta kepada Rosmah - Saksi

Post a Comment

0 Comments