TFC optimis bertemu PJ City

KUALA TERENGGANU: Meskipun terpaksa berehat panjang susulan pandemik COVID-19, barisan pemain Terengganu FC (TFC) tetap optimis bertemu PJ City FC pada aksi keempat Liga Super pada 22 Ogos ini.

Skuad Penyu juga mahu tampil lebih perkasa dan sudah bersedia mengharungi saingan liga selepas mula menjalani latihan secara berkumpulan sejak sebulan lalu di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain yang dibantu Subri Sulung dan bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib.

Bagaimanapun TFC kekurangan seorang pemain selepas bintang importnya dari Singapura, Muhammad Faris Ramli belum kembali kerana masih lagi terkandas di negaranya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, selepas secara rasmi menjalani latihan bermula 22 Jun lalu, pemain sudah bersedia walaupun ada beberapa bahagian yang perlu diperkemaskan lagi.

"Setakat ini pemain sudah bersedia dan begitu bersemangat untuk meneruskan saingan liga yang berbaki lapan perlawanan lagi sebelum saingan Piala Malaysia. Bagaimanapun masih ada perkara yang perlu dibaiki sebagai persediaan sebelum memulakan aksi bertemu PJ City FC.

"Kita juga akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi persembahan pasukan. Setakat ini kita sudah bertemu pasukan Terengganu FC II (TFC II) sebagai ujian pertama," kata Shahrizal yang menyatakan beliau tidak pasti tarikh sebenar Muhammad Faris dapat menjalani latihan bersama pasukan.

TFC ketika ini menghuni kedudukan kelapan liga dengan mengutip empat mata selepas mencatat satu kemenangan iaitu menumpaskan Kedah 4-3 selain terikat 3-3 dengan Selangor dan tewas 1-3 kepada Perak.



Sumber : TFC optimis bertemu PJ City

Post a Comment

0 Comments