
TOKYO: Emiriah Arab Bersatu (UAE) melancarkan misi angkasa lepas pertama Asia Barat ke Marikh digelar 'Hope' (Harapan), yang berlepas dari Jepun hari ini.
Siaran langsung pelancaran pesawat peninjau yang dinamakan 'Al-Amal' dalam bahasa Arab itu menyaksikan roket berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima di selatan Jepun pada jam 6:58 pagi waktu tempatan.
Kira-kira sejam kemudian, siaran langsung menunjukkan aksi orang ramai bersorak di bilik kawalan sebaik pesawat peninjau yang dilancarkan itu berpisah daripada roket.
Di Dubai, acara itu disambut dengan penuh meriah, malah Timbalan Pengurus Projek Misi Marikh UAE, Sarah Al-Amiri, berkata beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila menyaksikan pelancaran itu.
"Ini adalah penentu masa depan UAE," katanya kepada Dubai TV dari lokasi pelancaran.
Misi itu adalah salah satu daripada tiga misi ke Marikh termasuk Tianwen-1 dari China dan Mars 2020 dari Amerika Syarikat (AS), yang dilancarkan ketika bumi dan Marikh berada di kedudukan paling dekat.
Menjelang Oktober, Marikh akan berada pada jarak lebih dekat iaitu sekitar 62.07 juta kilometer dari Bumi, mengikut laporan NASA.
'Hope' dijangka tiba di orbit Marikh menjelang Februari 2021, sempena 50 tahun sambutan penyatuan UAE yang merangkumi tujuh emiriah.
Antara matlamat misi ke Marikh ialah bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai cuaca di planet itu selain impian lebih besar bagi mewujudkan penempatan manusia di sana dalam tempoh 100 tahun lagi. - AFP
Sumber : UAE lancar misi ke Marikh dari Jepun
0 Comments