
KUALA LUMPUR: Seorang ejen syarikat jualan langsung dikenakan kompaun RM50,000 selepas didapati membuat penyataan mengelirukan dengan mempromosikan gelang yang didakwa mampu mencegah wabak COVID-19 di laman Facebook miliknya.
Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata tindakan itu dibuat hasil aduan orang ramai selepas penjualan gelang berharga RM580 itu tular di platform media sosial berkenaan.
Iskandar Halim berkata, sepasukan Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan itu dan menyoal siasat wanita berkenaan.
"Tindakan wanita itu yang mempromosikan produk dengan memberi penyataan yang mengelirukan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h), Akta Perlindungan Pengguna 1999. Tawaran kompaun maksimum sebanyak RM50,000 kemudian ditawarkan kepada ejen jualan langsung berkenaan hari ini.
"Jika kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, individu itu akan dituduh di mahkamah.
"Penalti bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak lebih RM 100,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Iskandar Halim berkata, KPDNHEP serius dalam memastikan pengguna tidak terpedaya dengan promosi atau penyataan mengelirukan mengenai kegunaan sesuatu produk.
"Selain itu, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan," katanya.
Sementara itu, Iskandar Halim ketika dihubungi berkata, tindakan berkenaan hanya dikenakan ke atas ejen jualan berkenaan, bukan syarikat pengeluar gelang.
"Syarikat itu tidak pernah membuat dakwaan yang gelang itu boleh mencegah COVID-19. Hanya wanita itu saja (yang membuat dakwaan)," katanya.
Sumber : Wanita dikompaun RM50,000 jual gelang didakwa cegah COVID-19
0 Comments