PUTRAJAYA: Seramai 315 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, termasuk 127 tidak memakai pelitup muka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga individu terbabit direman, manakala 312 lagi dikenakan kompaun.
"Daripada jumlah itu, 38 individu didapati melakukan aktiviti tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP); aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai dan menyukarkan penjarakan fizikal (150); serta tidak memakai pelitup muka (127)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga membuat 63,473 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Sejumlah 3,226 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 14,327 anggota, membuat pemantauan di 3,821 pasar raya, restoran (5,545), penjaja (1,954), kilang (1,326), bank (3,602) dan pejabat kerajaan (820).
"Sebanyak 1,132 terminal pengangkutan darat, 138 terminal pengangkutan air dan 40 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya.
Selain itu, beliau berkata, 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara dan 35,459 kenderaan diperiksa untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), terutama di lorong tikus.
Sumber : 315 ditahan ingkar arahan PKP
0 Comments