Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum rancaknya semalam untuk dibuka lebih tinggi pagi ini dalam kebanyakan indeks, didorong oleh keuntungan berterusan dicatatkan oleh pasaran-pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.24 mata kepada 1,588.81 daripada 1,588.57 ketika ditutup petang Khamis.

Ketika dibuka pagi ini, indeks utama meningkat 1.97 mata kepada 1,590.54.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter-kaunter untung mengatasi rugi 415 berbalas 122 manakala 302 kaunter tidak berubah, 1,140 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 1.49 bilion saham bernilai RM459.14 juta.

Purata Perindustrian Dow Jones mengukuh 0.7 peratus, peningkatan untuk lima sesi berturut-turut, disokong oleh tuntutan pengangguran yang lebih baik daripada dijangkakan iaitu pada 1.2 juta minggu lalu berbanding unjuran 1.4 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd melihat pasaran yang dipacu oleh mudah tunai atau kecairan dengan jumlah dagangan pada paras tinggi baharu akan memainkan peranan penting kepada peningkatan harga saham seterusnya di Bursa Malaysia.

Sentimen turut didorong oleh ringgit yang mengukuh kepada paras tinggi lima bulan berbanding dolar AS beserta harga minyak yang memberangsangkan.

Pada masa yang sama, ia berkata para pelabur akan terus memantau kadar pengangguran Malaysia sebagai petunjuk kepada prestasi ekonomi.

Sementara itu, syarikat broker saham itu berkata sektor penjagaan kesihatan dan saham berkaitan aset selamat (pelaburan yang dijangka akan lebih bernilai sewaktu berlaku masalah dalam pasaran) diunjur akan terus melambung.

"Harga minyak sawit mentah yang stabil melepasi paras RM2,700 satu tan kemungkinan boleh menarik beberapa minat urus niaga dalam lingkungan sektor perladangan berikutan peningkatan permintaan dari Asia Barat dan Afrika," katanya dalam satu nota di sini hari ini.

Dalam nota berasingan, Maybank IB Research berkata secara teknikal, FBMKLCI mungkin berada sekitar 1,570 hingga 1,620 hari ini dengan sokongan menurun pada 1,550 dan 1,515.

Saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM7.51, Top Glove naik 10 sen kepada RM28.50, Hartalega jatuh 14 sen kepada RM19.66 dan Public Bank lebih rendah enam sen kepada RM16.92.

Tenaga merosot dua sen kepada RM11.02 dan IHH lega empat sen kepada RM5.36.

Dalam kalangan saham paling cergas, Borneo Oil menambah 1.5 sen kepada 6.5 sen, Trive naik satu sen kepada dua sen dan Pegasus lebih tinggi setengah sen kepada empat sen.

Kaunter paling untung, Upa menokok 80 sen kepada RM3.50, Notion meningkat 42 sen kepada RM2.29 dan Supermax mengembang 34 sen kepada RM24.12.

Kaunter paling rugi, Dutch Lady jatuh 20 sen kepada RM39.20,

Hartalega susut 14 sen kepada RM19.66 dan Advaenta merosot 11 sen kepada RM4.60.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 16.96 mata kepada 11,493.59, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 30.92 mata kepada 13,677.52 dan Indeks FBMT 100 meraih 12.44 mata kepada 11,292.41.

Indeks FBM 70 melonjak 58.0 mata kepada 15,109.47 dan FBM ACE melonjak 268.76 mata kepada 10,791.93.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.00 mata kepada 142.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 8.26 mata kepada 12,984.94 dan Indeks Perladangan menambah 19.05 mata kepada 7,091.25

-BERNAMA



Sumber : Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Post a Comment

0 Comments