Helah tentera, perangkap dua tekong laut Indonesia

KUALA LUMPUR: Kecekapan anggota Rejimen Renjer Diraja (RRD) menyamar di celah kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyusup keluar secara haram, berhasil menahan dua tekong warga Indonesia yang menanti mereka malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3Div) dalam kenyataannya, berkata kejadian berlaku jam 10.30 malam tadi.

Katanya, Pasukan 1 RRD daripada Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) menerima maklumat mengenai pergerakan sekumpulan PATI cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi pesisir Pantai Punggai, Bandar Penawar, Johor.

Susulan maklumat itu, sepasukan anggota Quick Reaction Force (QRF) dikejarkan ke lokasi sebelum berhasil menahan enam warga Indonesia yang dipercayai sedang menunggu bot untuk keluar dari Malaysia bersama seorang tekong darat warga tempatan.

"Hasil maklumat dari tangkapan itu, lima anggota pasukan QRF menyusup bersama kumpulan PATI terbabit bagi merapati kedudukan sebuah bot yang datang ke pesisir pantai untuk mengambil mereka.

"Taktik itu membolehkan pasukan QRF menahan dua tekong laut warga Indonesia bersama bot dengan enjin berkuasa tinggi, Yamaha 200 HP, yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI ke Indonesia," katanya.

Katanya, tangkapan membabitkan lelaki dewasa berusia antara 25 hingga 52 tahun.

"Turut dirampas adalah tujuh telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,404 dan mata wang Indonesia, 4 juta rupiah, sebuah bot berserta enjin Yamaha 200 HP menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM147,344.

"Maklumat turut disalurkan ke Bilik Gerakan National Task Force (NTF) di KD Sultan Ismail (KDSI) untuk pemantauan lanjut di perairan kerana disyaki ada bot dari Indonesia akan masuk berikutan kejadian air pasang besar," katanya.

Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19



Sumber : Helah tentera, perangkap dua tekong laut Indonesia

Post a Comment

0 Comments