
KUALA LUMPUR: Kompaun RM1,000 yang dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, adalah berasingan daripada siasatan sedang dijalankan polis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan kadar kompaun RM1,000 dikenakan KKM, terhadap menteri terbabit adalah had maksimum ditetapkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).
"Kompaun maksimum mengikut Akta 342 adalah RM1,000 terhadap mereka yang ingkar peraturan serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah hanya RM1,000," katanya.
Beliau memberi penjelasan itu menerusi akaun Twitter sebagai reaksi kepada netizen yang mempertikaikan kadar kompaun yang dikenakan oleh KKM itu yang disifatkan terlalu rendah berbanding kesalahan dilakukan.
Dr Noor Hisham berkata, dalam isu membabitkan menteri berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan susulan laporan diterima pihak berkuasa itu.
Sumber : 'Itu kompaun maksimum'
0 Comments