Jangan sebar berita palsu berkaitan COVID-19 di Napoh

ALOR SETAR: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID-19 di kawasan Napoh, di Kubang Pasu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Mohd Norfadzly Mohd Hashim, berkata ini kerana berita palsu berkaitan perkara itu boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan diterima walaupun ada beberapa hantaran di laman sosial terutamanya di Facebook yang mencurigakan dan tidak pasti kesahihannya.

Katanya, dalam keadaan isu semasa COVID-19 yang melanda Napoh di Kubang Pasu ini, ramai yang mengambil kesempatan memuat naik video dan gambar kononnya ramai yang sudah dijangkiti melebihi dari laporan Kementerian Kesihatan.

"Banyak berita yang kurang tepat dan tidak pasti kesahihannya berkaitan jangkitan COVID-19 di Napoh itu sama ada melalui status atau melalui pesanan suara yang disebar melalui aplikasi WhatSApp.

"Sebaiknya orang ramai perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari Kementerian Kesihatan atau pihak berkaitan sebelum menyebarkan sebarang maklumat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Mohd Norfadzly berkata, ada juga gambar yang dipaparkan melalui media sosial itu adalah gambar lama yang dikongsi semula sehingga mencetuskan suasana panik.

Beliau berkata, sebagai contoh video polis trafik yang ditular kononnya polis menahan penunggang motosikal kerana tidak memakai pelitup muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah tidak benar malah kejadian itu berlaku tahun lalu membabitkan kesalahan lain.

"Kita berharap orang ramai mengambil pengajaran kes yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ramai ditahan kerana menyebar berita palsu termasuk menghina polis di laman sosial.

"Ia termasuklah 'kes kepala kambing', dua kes menghina polis masing-masing di Kubang Pasu dan Pendang dan banyak kes lagi yang kita berjaya kesan," katanya.

Mohd Norfadzly berkata, sekiranya terdapat penyebaran maklumat palsu, kes boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



Sumber : Jangan sebar berita palsu berkaitan COVID-19 di Napoh

Post a Comment

0 Comments