ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menubuhkan Jawatankuasa Khas Kewangan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji empat bulan pemain-pemainya.
Menerusi kenyataan media oleh Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor hari ini, KFA mengambil tindakan drastik bagi mengatasi bebanan hutang yang dialami KFA sejak September 2019.
"Tunggakan bagi Mac 2020 akan diselesaikan sebelum 15 Ogos 2020 manakala tunggakan April, Mei, Jun dan Julai 2020 akan dimaklumkan selepas rundingan dilakukan dalam masa terdekat.
"Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditugaskan mencari penyelesaian tunggakan itu juga akan mencari kaedah terbaik dalam 'situasi menang-menang' pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini.
"Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan ini juga akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu.
"KFA kini memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020," kata Sanusi.
Turut dibincangkan isu berkaitan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang setakat ini berjumlah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera.
Sementara itu KFA juga mengumumkan pelantikan Setiausaha Kehormat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
"Mesyuarat bersetuju mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Kehormat KFA dengan melantik Exco Belia dan Sukan Kedah Firdaus Ahmad, manakala Zulkifli Che Haron sebagai CEO.
Presiden KFA turut melantik Mohd Noor Mohd Amin sebagai Bendahari.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Sanusi dan Naib Presiden baharu, Muhammad Radhi Mat Din.
Sumber : KFA komited selesai tunggakan gaji
0 Comments