Maritim patahkan cubaan seludup 141kg ketum di perairan Kuala Perlis

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perlis menggagalkan cubaan penyeludupan 141.2 kilogram daun ketum ke negara jiran yang dimuatkan ke dalam 750 bungkusan plastik melalui perairan Kuala Perlis, hari ini.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing, berkata kegiatan penyeludup dapat dikesan pada jarak 0.1 batu nautika dari muara Kuala Perlis oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui unit Unmanned Aircraft Systems (UAS) sebelum maklumat terbabit disalurkan kepada pihaknya.

Bot peronda Maritim digerakkan ke lokasi terbabit sebelum menemui dua bot yang berada dalam keadaan mencurigakan, pada jam 4.42 pagi hari ini.

"Sebuah bot cuba melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan sebelum disekat berdekatan dengan kawasan hutan paya bakau. Tekong terjun ke laut dan melarikan diri. Sebuah bot lagi memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan tekong terbabit menemui semua bungkusan berisi daun ketum terbabit yang diletakkan di lantai bot.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan semua barangan termasuk bot dengan nilai RM11,000 dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya.



Sumber : Maritim patahkan cubaan seludup 141kg ketum di perairan Kuala Perlis

Post a Comment

0 Comments