
Minda Pembaca // hairul-merdeka
Kibar Jalur Gemilang dengan bangga tanda kita anak merdeka
Tanggal 31 Ogos 2020 semakin hampir mendekati diri kita. Bermula tarikh inilah kita mencapai sesuatu yang sudah lama diimpikan iaitu kemerdekaan.
Kemerdekaan yang kita capai bukan hasil peperangan atau pertumpahan darah seperti di negara jiran, Indonesia. Kemerdekaan yang kita capai hasil kebijaksanaan pemimpin ketika itu melakukan rundingan dengan penjajah.
Rundingan adalah perkara yang perlu diutamakan kerana dapat menyelamatkan banyak nyawa yang tidak bersalah daripada terkorban.
Rundingan ini dilakukan selepas banyak episod pertumpahan darah berlaku di negara kita dan negara serantau.
Antara nama yang sinonim dengan perjuangan membebaskan negara daripada dijajah adalah Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Rentap, Mat Salleh dan Dol Said.
Perjuangan ini diteruskan ketika pendudukan Jepun serta komunis di Tanah Melayu oleh tokoh seperti Leftenan Adnan Saidi. Tidak ketinggalan, pejuang ketika zaman kemerdekaan dan pasca kemerdekaan. Mereka juga bertungkus-lumus memerah keringat untuk melihat bendera kebangsaan berkibar megah di tanah air sendiri.
Sungguh tidak patriotik jika ada segelintir pihak mempertikaikan perjuangan dilakukan wira ini. Tidak kira mereka memperjuangkan negara menggunakan senjata mempertaruhkan nyawa atau menerusi pena dan idea. Mereka tetap pejuang buat tanah air!
Setelah lebih enam dekad, aura kemerdekaan dilihat semakin pudar. Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja di jalanan. Kibaran megah bendera negara, Jalur Gemilang dilihat semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat sendiri.
Ini bulan kemerdekaan, namun premis dilihat mengambil sikap acuh tak acuh tarikh bersejarah ini. Mereka seakan tidak bersemangat memasang bendera.
Bilangan yang melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan pula boleh dikira dengan jari. Berbeza sekali keadaan 10 tahun lalu. Ketika itu, kebanyakan rakyat dengan megahnya menghiasi kenderaan dengan bendera kebanggaan.
Di taman perumahan juga, jika dahulu sejak awal hingga hujung simpang 'sarat' dengan Jalur Gemilang, tetapi kini jika bernasib baik adalah satu dua rumah yang mengibarkannya di halaman rumah.
Lebih menyedihkan, ada pula pakatan baharu yang memasang bendera secara terbalik. Ia semakin merebak ke seluruh negara dengan berselindung alasan kesilapan teknikal.
Anda lebih bijak menilai adakah alasan ini masuk akal ataupun tidak. Lebih separuh abad Jalur Gemilang berkibar megah, masakan sejak akhir ini boleh terbalik pula.
Jika kita imbau kembali, bagaimana marahnya rakyat Republik Indonesia ketika Kejohanan Sukan SEA kerana penganjur melakukan kesilapan teknikal terhadap bendera negara mereka. Sikap begini kita perlu pelajari dan contohi dari rakyat negara jiran.
Pertahankan kedaulatan negara. Jangan biarkan ia dipijak dan dihina kerana ia maruah negara yang kita cintai. Kalau bukan kita siapa lagi?
Generasi terdahulu amat menyayangi dan menghargai kemerdekaan kerana pernah melalui zaman susah di bawah penjajahan dan juga berhadapan ancaman komunis.
Generasi sekarang juga perlu meneruskan sikap murni ditunjukkan golongan terdahulu. Mereka mencorak dan membentuk 'acuan' yang terbaik untuk kita. Kita pula ditugaskan untuk menjadi sebuah 'kuih' yang berjaya dan harmoni seperti diimpikan.
Tidak dinafikan, dengan kemodenan dunia hari ini generasi muda lebih selesa menunjukkan sikap patriotik mereka secara alam maya khususnya di media sosial.
Perkara itu tidak salah dan mereka harus teruskan usaha itu supaya dapat mempengaruhi orang lain untuk bersikap lebih patriotik. Namun, alangkah bagusnya jika kita sebagai generasi baharu ini dapat menzahirkan semangat berkobar-kobar di media sosial itu dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya, marilah kita membawa dan memacu negara Malaysia yang kita cintai ini berdasarkan prinsip Rukun Negara yang kita pegang sejak sekian lama ini.
Berbanggalah dengan negara yang harmoni ini dan jangan sesekali melakukan onar. Marilah kita memulakan tanda palang #KibarkanJalurGemilang di media sosial bagi mengajak rakan kita mengibarkan bendera di sekitar kawasan perumahan.
Penuhkan jalanan dengan bendera yang melambangkan maruah rakyat ini. Lekatkan Jalur Gemilang di kereta. Ajar rakyat yang keliru tentang kedudukan sebenar Jalur Gemilang supaya tiada lagi kesilapan teknikal berlaku.
Jika ketika Pilihan Raya Umum (PRU) kita mampu memacakkan bendera parti, takkan ketika bulan kemerdekaan ini kita tidak mampu zahirkan kecintaan sama terhadap Jalur Gemilang.
Tanpa parti negara tetap ada, tetapi tanpa negara musnahlah segala galanya. Letak tepi segala ideologi dan fahaman berbeza serta bersama-sama menyambut tahun kemerdekaan Malaysia Ke-43 ini secara harmoni.
Selamat hari kemerdekaan, salam 'Malaysia Prihatin'.
Hairul Faizi Hairulnizam
Mahasiswa Universiti Putra Malaysia
Sumber : Megah kibar Jalur Gemilang tanda kita anak merdeka
0 Comments