
PASIR GUDANG: Dua penjawat awam antara sembilan lelaki yang ditahan dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan daun ketum dalam serbuan di sebuah pondok berhampiran kawasan perumahan flat di Blok S, Jalan Balau 17, Taman Rinting, Masai, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya, berkata JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan risikan sebelum menahan semua individu berusia antara 22 hingga 57 tahun itu kira-kira jam 4.45 petang.
Susulan tangkapan itu, katanya, pemeriksaan dibuat di but sebuah kereta jenis Proton Iswara diletak berhampiran pondok di blok berkenaan dan polis menemui daun ketum dianggar seberat lima kilogram (kg).
"Pemeriksaan di sebuah stor di blok sama membawa kepada penemuan 16.4 liter cecair ketum yang disimpan dalam sebuah tong ais.
"Kita memeriksa sebuah rumah di blok itu sebelum menemui peralatan dapur memasak disyaki digunakan untuk pemprosesan air ketum.
"Siasatan mendapati kegiatan ini sudah beroperasi kira-kira setahun, manakala saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
"Semua suspek direman tiga hari mulai hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Afzanizam berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis pusat hiburan sekitar Johor Bahru, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Katanya, 21 individu yang berhibur dalam premis itu diperiksa, manakala saringan awal air kencing mendapati dua individu berusia 17 dan 29 tahun positif dadah jenis methampethamine.
"Polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mendakwa sebagai pengurus premis kerana mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual dan menghidang minuman keras/beralkohol, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan dikompaun RM1,000 manakala suspek positif urin direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sumber : Penjawat awam antara 9 ditahan salah guna ketum
0 Comments