Polis minta saksi kes panah monyet, biawak tampil

KUALA LUMPUR: Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes penganiayaan terhadap seekor monyet dan biawak seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp untuk tampil membantu siasatan.

Setakat ini satu laporan polis sudah diterima daripada kakitangan Jabatan Landskap Negara, petang tadi, yang mendakwa menerima gambar paparan skrin dan video menerusi aplikasi WhatsApp pada petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin, berkata video yang diterima itu memaparkan seekor monyet yang dianiaya di mana busur panah tertusuk di bahagian pangkal ekor monyet berkenaan.

"Pengadu mengesyaki kejadian itu berlaku di Zon Arboretum Taman Persekutuan Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

"Dia juga memberitahu terdapat satu gambar lain yang memaparkan seekor biawak yang dianiaya dengan cara sama iaitu busur panah tertusuk di bahagian tengah badan biawak dan setakat ini lokasi kejadian berlaku tidak dapat dipastikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang mana jika disabit kesalahan akan membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya.

Saksi yang mempunyai maklumat atau mengetahui mengenai pelaku kejadian ini boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, ditalian 03-22979222.



Sumber : Polis minta saksi kes panah monyet, biawak tampil

Post a Comment

0 Comments