Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 59,266 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam (2 Ogos 2020).
Itu antara yang disampaikan dalam sidang media berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
1. Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di seluruh negara kecuali luar bandar dan bandar kecil tiada liputan internet.
2. 209 individu dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
3. Pelajar dari luar negara perlu memberi maklumat kepada Kementerian Luar sebelum pulang ke Malaysia. Pelajar luar negara dalam golongan B40 dikecualikan daripada membayar kos kuarantin selama dua minggu.
4. Seramai 7,000 penduduk di Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu), Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap) akan di saring petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
5. PKPD secara Pentadbiran di empat mukim di Kedah akibat kluster Sivagangga diluluskan berkuat kuasa dari 3 sehingga 31 Ogos depan.
PKPD – semua masjid dan rumah ibadat ditutup
Terdahulu empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dengan semua masjid dan rumah ibadat ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, solat jemaah pula hanya dibenar dihadiri tiga individu sahaja.
” Mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca daripada kluster Sivagangga di Kedah membabitkan empat mukim, kerajaan negeri memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran dalam radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh di mukim Hosba, Kubang Pasu.
” Selain itu, ia juga membabitkan Kampung Pida Satu, Megat Dewa di mukim Ah; Kampung Bendang Dalam (mukim Binjal) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap),” katanya.
Katanya, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPD itu bermula hari ini sehingga 30 Ogos.
” Pelaksanaannya akan mengguna pakai SOP (prosedur operasi standard) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.
” Petugas KKM akan membuat ujian saringan ‘swab test’ ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan yang terbabit,” katanya.
Ismail Sabri berharap apa yang berlaku di Kedah tidak akan berlaku di kawasan lain, terutama jika semua pihak bertanggungjawab dalam pematuhan SOP dikeluarkan KKM.
” Kebebasan bergerak kita mungkin boleh disekat apabila kes meningkat dengan mendadak dan perkara sama boleh berlaku di tempat lain,” katanya.
via 1 MIN READ
0 Comments