Vidal 'serang' Barcelona

BARCELONA: Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal 'menyerang' kelabnya sendiri dengan mendakwa skuad Catalan itu hanya mempunyai '13 pemain profesional'.

Pemain Chile itu turut menyifatkan terdapat ramai produk atau pemain muda dalam pasukan utama selain mereka terlalu bergantung pada Lionel Messi.

Barcelona berada dalam krisis selepas menamatkan musim ini tanpa piala, tambahan pula mengalami kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

Pengurus baharu, Ronald Koeman dalam perancangan memperbaiki skuad itu dengan kemungkinan bintang berpengalaman seperti Luis Suarez, Ivan Rakitic dan Sergio Busquets bakal memberi laluan kepada pemain lebih muda.

Namun, Vidal mendakwa mereka memerlukan pemain yang lebih baik berbanding produk dari akademi.

Vidal memberitahu saluran YouTube Daniel Habif: "Barcelona harus mengubah cara pemikiran mereka. Bola sepak sudah banyak berubah dan DNA ketinggalan di belakang kerana pasukan lain sudah semakin baik dari aspek lain.

"Bola sepak ketika ini lebih kepada fizikal, bergantung pada kekuatan dan kepantasan dan aspek teknikal kadang-kadang kurang penting.

"Tiga tahun kebelakangan ini tidak seperti apa yang Barcelona patut capai. Pasukan terbaik di dunia tidak boleh mempunyai 13 pemain profesional. Anda tidak boleh selalu menang dengan DNA."

Barca terkenal dalam melahirkan bakat bertaraf dunia di akademi La Masia mereka dengan pemain seperti Messi, Gerard Pique dan Xavi serta Andres Iniesta.

Namun, Vidal tampak kurang senang kerana dalam pasukan utama ketika ini tidak ramai pemain profesional yang berpengalaman.

Dia juga bersimpati dengan rakan dari Amerika Selatan, Messi yang minggu lalu memberitahu Barca mengenai niatnya untuk berhijrah dengan Manchester City sebagai destinasi paling berpotensi selepas hampir 20 tahun di Catalonia.

"Messi adalah yang terbaik di dunia, pemain luar biasa, tetapi dia memerlukan bantuan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik," kata Vidal. - AGENSI



Sumber : Vidal 'serang' Barcelona

Post a Comment

0 Comments