
JOHOR BAHRU: Seramai 51 individu yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di sini, masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal menjaga penjarakan fizikal awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya, berkata kesemua yang berusia lingkungan 18 hingga 55 tahun dikompaun dalam operasi jam 2.30 pagi itu.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pengurus premis itu kerana menjalankan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan, dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Hasil saringan awal air kencing mendapati 19 individu terdiri daripada 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga Vietnam positif dadah jenis methamphethamine dan ketamine.
"Dua wanita warga Vietnam itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
"Kesemua individu dikenakan kompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan pengurus premis pula melakukan kesalahan ingkar perintah kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Afzanizam berkata, suspek akan direman mulai esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber : 51 dikompaun tidak jaga penjarakan fizikal
0 Comments