Banjir kilat: Penduduk panik air naik terlalu cepat

KUALA LUMPUR: "Tak sangka air banjir melimpah sampai masuk ke dalam rumah terlalu cepat sampai kami panik," kata Norhasliza Musa, seorang daripada penduduk Kampung Periuk di Kampung Baru yang terjejas akibat banjir kilat melanda ibu negara, petang tadi.

Menurutnya, selama lebih 20 tahun keluarganya menyewa rumah di situ, kejadian banjir kilat memang kerap dialami namun kejadian kali ini yang terburuk pernah berlaku.

"Pada mulanya kami menyangka air banjir takkan masuk ke dalam kediaman dan kalau melimpah pun, hanya mencecah lantai rumah.

"Tetapi kali ini, air naik sampai tenggelam semua perabot dan peti ais kami hampir terbalik kerana terapung dalam air banjir," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, tadi.

Norhasliza, 40, berkata ketika kejadian, dia bersama suami serta tiga anak kebetulan berada si rumah dan hanya sempat menyelamatkan sedikit barangan berharga milik mereka.

Seorang lagi mangsa, Widya Ismail, 34, berkata dia memang sentiasa bersedia setiap kali hujan lebat melanda ibu negara kerana sudah menjangkakan banjir kilat akan berlaku.

"Banjir kilat memang biasa jadi di sini, dan bila hujan sangat lebat sekitar jam 2.30 tadi, saya dan suami sempat memindahkan sedikit barangan ke tempat tinggi seperti atas katil dan meja.

"Namun sekitar jam 4 petang, air mula melimpah tanpa henti dan masuk ke dalam rumah dan selepas hampir dua jam, paras air semakin tinggi sehingga mencecah paras dada," katanya.

Katanya, semua barangan dalam rumah ditenggelami air dan hanya mampu menyelamatkan dokumen peribadi mereka sekeluarga.

Pengalaman sama turut dialami Ermayeni Amirudin, 31 yang menyewa sebuah rumah di Kampung Periuk bersama lapan ahli keluarga termasuk ibunya, Faridah Muslim, 55.

"Keadaan pada masa itu memang kelam kabut kerana kami cuba menyelamatkan barangan serta peralatan elektrik yang ada di dalam rumah.

"Namun kami tidak dapat berbuat apa-apa apabila semua barangan yang cuba diselamatkan tetap ditenggelami air kerana paras air terlalu tinggi," katanya.

Beliau dan keluarga serta mangsa lain di kawasan sekitar kemudian diselamatkan anggota bomba dengan bot sebelum ditempatkan sementara di dewan Kelab Sultan Sulaiman.

Pada masa ini, penduduk di kawasan terjejas sedang sibuk membersihkan kediaman masing-masing sebaik banjir surut menjelang Maghrib.



Sumber : Banjir kilat: Penduduk panik air naik terlalu cepat

Post a Comment

0 Comments