KUALA LUMPUR: Selepas hampir sebulan kehilangan nenek tersayang yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19, model dan pelakon, Daler Yusuf diuji sekali lagi apabila bapanya pula terkorban disebabkan wabak sama.
Berita pemergian yang menyedihkan dikongsi pelakon Tuan Anas Mikael itu menerusi laman Instagram, petang tadi.
Daler berkata, bapanya, Dusmat Hamroyev, 54, menghembuskan nafas terakhir di Uzbekistan selepas lebih 10 hari terlantar di hospital.
"Ini adalah tahun paling mencabar buat saya apabila kehilangan dua anggota keluarga dalam tempoh terdekat.
"Arwah bapa dijangkiti COVID-19 daripada arwah neneknya, Muhammadiyeva Shodi yang meninggal dunia pada 7 Ogos lalu," katanya kepada BH Online.
Lebih menyedihkan, Daler berkata, dia tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menziarahi, menatap mahupun menyempurnakan jenazah arwah bapanya.
"Tujuh hari lagi arwah akan menyambut ulang tahun ke-54. Banyak hajat dan cita-citanya belum tercapai. Keadaan arwah yang menghidap penyakit kencing manis juga menyukarkannya untuk sembuh.
"Saya percaya Allah lebih menyayanginya. Semoga roh arwah tenang dan di tempatkan di kalangan insan beriman. Saya mohon peminat mendoakan supaya saya dan keluarga kuat menempuh kehilangan ini," katanya.
Sumber : Bapa Daler meninggal akibat COVID-19
0 Comments