Bekerja keras seperti esok PRU - PM

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin kerajaan dan parti politik yang mendukung Perikatan Nasional (PN) diminta bekerja keras umpama menghadapi pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, mereka juga perlu mengelak perpecahan dan bersepakat serta berbincang secara baik bagi membina persefahaman yang lebih kukuh.

"Bila masa sampai PRU, rakyat akan bangkit dan bangun berikan mandat kepada PN untuk bentuk kerajaan. Jangan tanya saya bila PRU nak diadakan, yang penting bekerja bersungguh-sungguh seolah-olah esok PRU akan diadakan.

"Yang penting untuk ke hadapan ini, bagaimana kita mahu tentukan usaha yang kita jalinkan, membuahkan sesuatu yang bermanfaat. Sebab itu kita harus bersepakat, berbincang secara baik tidak ada sifat dan perasaan cemburu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ke-4 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.

Turut sama hadir, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta kepemimpinan tertinggi dan sayap BERSATU.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata kerjasama yang dibentuk dalam gabungan PN adalah satu bentuk gagasan politik baru yang akan membawa negara ke tahap lebih gemilang.

"Maka disebabkan itu kita sepakat untuk bersama dengan rakan lain dalam apa yang saya sebutkan PN untuk bergabung tenaga dalam satu perjuangan politik yang satu. Mengelakkan pertembungan, kepentingan sebaliknya mewujudkan persefahaman dan berkerja bersama.

"Kita wujudkan suasana politik baharu dalam norma baharu. Saya percaya rakyat akan mendokong kita. Saya buat ini untuk memulakan usaha menggabungkan gerakan politik dalam satu wadah perjuangan yang sama. Saya harap semua pihak beri sokongan kepada inisiatif yang kita ambil ini," katanya.

Atas semangat itu juga kata Muhyiddin, beliau mengambil keputusan segera untuk BERSATU menyertai Muafakat Nasional yang digagaskan oleh UMNO dan PAS.

"Pada waktu mana kita ambil keputusan menyertai Muafakat Nasional untuk gabungkan parti Melayu, maka dengan tidak berfikir panjang, maka saya menerima menyertai dalam gabungan Muafakat Nasional bersama UMNO dan PAS," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut membangkitkan kebimbangannya mengenai situasi terbaru jangkitan COVID-19 yang merekodkan 100 kes jangkitan positif semalam.

Beliau juga memberi jaminan, biarpun Malaysia bukan negara pengeluar vaksin, namun kerajaan akan pastikan sebaik vaksin dijumpai, bekalan secukupnya akan diperoleh untuk kegunaan rakyat.

"Kerajaan sudah buat keputusan mesti ada tindakan yang tegas diambil untuk menentukan walaupun vaksin tidak dikeluarkan negara kita, vaksin mesti ada di rumah kita.

"Tindakan sedang diambil, kerjasama dengan beberapa negara sudah kita jalin untuk jamin bekalan pada masa akan datang," katanya.



Sumber : Bekerja keras seperti esok PRU - PM

Post a Comment

0 Comments