MARAN: Misi FELDA United FC untuk mengutip tiga mata tidak menjadi kenyataan selepas hanya mampu terikat 2-2 dengan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain pertahanan, Muslim Ahmad yang menewaskan penjaga gol The Fighters, Zarif Irfan Hashimuddin minit ke-14.
Skuad The Fighters yang ketinggalan 0-1 berjaya menjaringkan gol penyamaan hasil jaringan Nikola Raspopovic yang menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-37.
Sebelum berakhir separuh masa pertama, Akhmar Haiqal Azhar mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan FELDA United mendahului 2-1 selepas bola terkena tangan Nor Azam.
Pada minit ke-78, penyerang import Pahang, Ivan Carlos menyamakan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan Faiz Mazlan.
Empat minit kemudian, The Fighters beraksi 10 pemain selepas pemain tengah, Jasazrin Jamaluddin dilayangkan kad merah akibat mengutip dua kad kuning oleh pengadil, Hamdan Awang.
Sumber : FELDA United, Pahang kongsi mata
0 Comments