PASIR MAS: Warga emas yang parah selepas gerai daging miliknya dirempuh kenderaan dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah semalam, meninggal dunia jam 7.27 pagi tadi.
Penjual daging, Ismail Yaacob, 63, menjadi mangsa kedua selepas pelanggannya, Noriza Zakaria, 28, maut di lokasi kejadian di Jalan Pasir Mas-Meranti, Kampung Pohon Buloh di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, mengesahkan laporan kematian terbabit.
Katanya, Ismail dibawa pulang ke rumah di Kampung Mat Lazim di sini, atas permintaan keluarga selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Bagaimanapun, keadaan mangsa semakin kritikal sebelum disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Meranti, di sini.
"Mangsa cedera teruk di rusuk kiri, paru-paru dan leher, selain mengalami pendarahan teruk dalam kepala disebabkan rempuhan," katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, seorang lelaki berusia 29 tahun yang memandu kereta dan kemudiannya disahkan positif dadah dilapor merempuh gerai menjual daging milik Ismail, menyebabkan seorang wanita maut.
Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sumber : Gerai dirempuh, warga emas meninggal dunia
0 Comments